Tuesday, September 15, 2009

Dalam Suka Ada Duka~ Saya rindukan arwah abah saya


Perasaan ini bercampur baur, walaupun hati saya teruja dan gembira nak balik beraya dengan family di Kedah esok lusa, tetapi ada satu ruang kosong dalam hati yang tak mampu diisi oleh sesiapa atau dengan apa cara, ia tetap kosong. Kosong buat selama-lamanya.

SAYA RINDUKAN ARWAH ABAH SAYA..
Photobucket

Walaupun sejak tahun 2002, arwah abah sakit dan uzur, lepas serangan angin ahmar yang menyebabkan abah lumpuh tidak boleh berjalan dan sedikit sebanyak merubah sikap dan perangai abah dari seorang pendiam kepada seorang yang suka merepek dan bercakap yang bukan-bukan, malah kadang kala ketawa tak tentu pasal. Walaupun keadaan abah begitu, tetapi saya tetap punya abah. Walaupun dia hanya duduk di dalam rumah di tempat tidur sahaja, tetapi dia juga menceriakan dengan lawak-lawak yang dia tak pernah buat semasa dia sihat, semasa sihat arwah seorang yang serius dan sangat pendiam, walaupun dia tidak membantu apa-apa dalam menyiapkan persiapan raya, hanya duduk di tempat perbaringan dia, tapi saya tetap ada abah. Dia tetap ada disitu, tetap ada.

Walaupun abah terlantar begitu, tetapi sekurang-kurangnya saya tetap ada abah, bila sesekali menelefon emak, saya juga ada abah untuk saya bercakap, walaupun kadang-kadang hanya dengar dia ketawa dan mengadu kononnya emak saya sudah 3 hari tak bagi dia makan dan mandi, ya ingatan dia kurang baik, tetapi dia masih boleh bercakap dengan jelas dan saya tau emak saya takkan buat begitu, tetapi peel orang tak sihat macam abah memang menguji kesabaran. Bayangkan kalau dia bercerita pada orang yang sesekali menjengah, pasti orang terfikir, betul ke dia tak makan 3 hari?? kadang-kadang tu bila saya balik, dia baru je selesai makan, pinggan makan pun masih dalam sinki dapur, tetapi bila ditanya, katanya belum makan, emak tak bagi makan. Walau apa pu peel dia, dia tetap ada, dia ada disitu.

Kadang kala saya mengusik dia, patutlah abah kurus kering tak makan rupanya, dia pun membalas, tengok tinggal tulang je ni.. Padahal tubuh dia agak berisi lepas kena stroke tu sebab selera makannya dia amat tinggi, bagi apa saja dia makan, tak tolak. Makanan yang dia tak suka makan dulu pun dia jadi suka nak makan, macam burger, kalau masa sihat, dia tak jamah la burger, KFC semua, tetapi bila dah sakit, semuanya dia makan bersungguh-sungguh. Walaupun permintaan makanan dia kekadang memeningkan kepala, tetapi dia ada untuk minta semua itu. Sekarang dia tiada dah untuk kami layan begitu.Semua itu hanya tinggal kenangan buat kami hari ini.

Abah saya walaupun tidak sihat dan sakit, tapi saya masih ada abah untuk saya belikan baju baru dan kain pelikat baru untuk saya beri pada dia, walaupun emak selalu kata tak payah, abah bukan pi mana pun, baju tahun lepas masih elok, tapi saya tetap belikan juga. Sebab saya tak tau sampai bila saya berpeluang belikan baju baru buat dia, ternyata, tidak lama pun, dan saya puas sekurang-kurangnya saban tahun tetap ada baju baru buat dia, ada duit raya buat abah, walaupun dia bukan boleh pegi kedai, tetapi dia merasa pegang duit gaji saya. Saya juga sempat belikan dia katil untuk berehat semasa hayatnya, dan katil itulah digunakan untuk meletakkan jenazah dia yang sudah kaku tahun lepas.

Abah saya, walaupun sakit dan tidak kemana, tetapi saya masih ada abah untuk saya cium tangan di pagi raya, saya rindukan tangan kasar dan sejuk itu untuk saya salam di pagi raya, tetapi tidak ada peluang begitu lagi. Dan saya amat hargai ketika yang ada suatu masa dahulu. Ketika di mana tangan yang membelai saya masa kecil dulu, tangan yang memberi saya makan, tangan yang bekerja keras menjadi pemotong rumput sewaktu saya baru dilahirkan, tangan yang kemudian berkeja menjadi pemandu lori JKR berpuluh tahun, yang gajinya tidak seberapa menyara kami adik beradik, tangan itu juga yang menolak basikal roda tiga berniaga bihun sup dan laksa setiap petang, menambah duit belanja kami.

Tangan itu juga, saban awal pagi sesubuh pagi sudah pulas handle motor sudah menuju ke surau, bentang sejadah dan bersolat jemaah. Tangan itu juga, pasang minyak tanah pada pelita-pelita yang dipasang keliling rumah menjelang minggu terakhir ramadhan. Tangan abah itulah juga yang menjinjing plastik berisi ayam, daging, dan segala barang yang nak dimasak petang terakhir Ramadhan. Tangan abah itu lah kami salam dan cium di pagi raya.

Tapi tangan itu sudah bersemadi bersama jasad arwah, tiada lagi dapat saya salam dan cium. Tangan itu juga saya sempat cium dan mohon ampun dan maaf buat kali terakhir pada 21 Julai 2008, dan kemudiannya abah telah pergi meinggalkan kami sebaik sahaja azan Zohor kedengaran hari itu. ABAH PERGI SELAMANYA..

Kini yang tinggal cuma kenangan sahaja.. dan waris-waris yang ada. 4 anak dan 7 cucu, itulah waris dia yang ada hari ini, cucu-cucu inilah penghibur duka lara buat emak saya.

Ikutkan hati, saya nak telefon emak, dan menangis bagitau saya rindu arwah abah, tapi tidak mungkin saya buat begitu di kala emak menghitung hari tunggu anak cucu balik rumah dia, dia tengah atur segala neka menu anak menantu dan cucu suka makan, sebok dah belikan stok bunga api buat cucu-cucu dia hati riang menanti anak cucu balik, saya kena kuat, tak mau dia turut sedih.

Al-Fatihah buat arwah abah saya Samsudin B. Haji Hashim.
Kami rindu abah... rindu sangat...
Related Posts with Thumbnails
 

~ Sharing is Caring ~ Pnut Online~ Menulis Sejak 21 May 2001 ~ Cerita Apa Saja~ Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino