Kaunselor Anda: Risau diceraikan kerana tiada anak
Bersama Dr Rubiah K Hamzah (Pakar Motivasi)
bminggu@bharian.com.my
Soalan
Saya berusia pertengahan 30-an dan sudah berkahwin sejak tamat belajar. Malangnya sudah bertahun-tahun mencuba untuk hamil, tetapi masih belum berjaya. Suami juga sudah cuak dan malas untuk membuat pemeriksaan demi pemeriksaan kesihatan. Saya tahu punca tidak subur datang kerana masalah haid yang tidak menentu dan selain masalah hormon. Kalau dulu suami banyak bagi sokongan kini dia sudah malas.
Saya pernah terfikir untuk membuat kaedah IVF tetapi suami tidak mahu bekerjasama kerana katanya dia sudah penat berbuat demikian sepanjang kami berkahwin. Saya berkecil hati dan berasa dia sudah tidak peduli lagi dengan kehidupan kami suami isteri. Dia seakan tidak faham dengan tekanan yang saya lalui sebagai isteri dan menantu. Saya tidak mahu kami berpisah kerana masalah begitu apatah lagi saya sangat sayang padanya. Apa nasihat doktor?
Maz
Jawapan:
Salam bahagia Maz yang dikasihi. Terima kasih kerana sudi berkongsi masalah, ini tandanya Maz masih kuat dan matang. Maz, setiap perkahwinan adalah ditentukan oleh Allah. Sebab itu ditegaskan oleh agama bahawa rezeki, jodoh, ajal dan maut ditetapkan Allah sejak kita belum lahir lagi. Percayalah ini dengan kukuh.
Andai kata kita benar percaya bahawa suami kita dipilih Allah untuk kita, maka dia adalah pasangan kita yang diizinkan Allah. Jika kita percaya bahawa permulaan perkahwinan itu atas ketentuan Allah, maka percayalah juga bahawa kehidupan pasangan itu adalah juga dalam ketentuan Allah kerana sudah ditegaskan rezeki dan ajal kita di tangannya, ini bermakna kehidupan perkahwinan kita itu terus dalam jagaan dan perhatian Allah.
Ketahuilah juga bahawa Allah tidak melepaskan perhatian-Nya kepada makhluknya walaupun sesaat pun. Kalau Allah tahu setiap helai daun yang gugur ke bumi, mana mungkin Allah tidak tahu apa yang sedang Maz hadapi. Apa yang menjadi masalah pada Maz dan suami sekarang ialah hubungan dengan Allah sangat nipis dan rapuh. Sehingga kedua-dua anda terjebak ke dalam keadaan putus asa.
Sedarlah Maz sayang, Allah maha mengetahui apa yang diinginkan oleh hamba-Nya dalam hidup ini. Allah sangat sayang dan pemurah pada hamba-Nya. Oleh itu nasihat Umi buat Maz, belajar erti sabar dan tabah kerana Allah berjanji sesiapa yang sabar Allah akan beri kemenangan. Langkah pertama, rapatkan diri dengan Allah sehingga Maz berasa bahawa Allah itu sangat dekat dengan kita, Dia melihat dan mendengar hajat, keluhan dan doa kita lebih jelas daripada orang lain di sekitar kita.
Jika Maz mengatakan suami tidak faham perasaan Maz, sedarlah sayang, bahawa Allah sangat mendengar dan memahaminya. Allah belum lagi mahu mengurniakan cahaya mata buat mu walaupun sudah berusaha sedaya upaya hingga Maz berasa bahawa dengan usaha itu Maz sepatutnya sudah dapat anak. Maz tidak berasa bahawa apapun yang kita lakukan jika tidak diserahkan hasil dan hujung usaha itu kepada Allah maka usaha itu tidak akan mencapai kejayaan.
Kita jangan bergantung semata-mata daripada usaha kita saja, kerana kita makhluk hanya layak berusaha tapi penentuan hasilnya adalah Allah. Jangan terlalu yakin bahawa semua usaha kita akan kita raih hasilnya tanpa meletakkan kuasa Allah di akhirnya. Sebab Allah mengingatkan tidak akan terjadi sesuatu tanpa izin-Nya. Maka mungkin di sinilah sedikit kekeliruan pada Maz, sehingga berasa tidak mampu meneruskan hidup dengan sewajarnya hanya kerana tidak punya anak. Ini adalah tindakan yang kurang wajar, belajarlah menyayangi diri sendiri sebelum menyayangi orang lain. Biarlah suami berkelakuan semahunya, tapi anda harus belajar kuatkan hubungan dengan Allah kerana segala yang terjadi ini adalah dengan ketentuan Allah.
Jika anda dan suami tidak mahu menerima hakikat ini bermakna sentuhan Allah sangat sedikit di hati anda. Satu perkara lagi, sedarlah yang anda masih muda, masih ada ruang untuk berusaha, berdoa dan bertawakal pada Allah. Tanamkan dalam minda, hati dan jiwa anda bahawa anda bukan tidak boleh punya anak tapi belum diizinkan Allah untuk punya anak. Mungkin persediaan anda untuk jadi ibu dan ayah belum sempurna. Oleh itu belajarlah untuk menghargai apa yang ada, kerana apa yang diberikan itu adalah yang terbaik buat mu. Bersyukurlah yang anda sudah bergelar isteri sedangkan di luar sana masih terlalu ramai orang yang belum berjaya menjadi isteri pun, dan berapa ramai pula wanita yang menjadi ibu tunggal, sedangkan anda hanya belum punya anak saja. Jika boleh anda mungkin perlu pertimbangkan mengambil anak angkat, kerana biasanya jika anda lulus dan layak menjadi ibu kepada bayi yang bukan darah daging anda, Allah akan berikan anda anak sendiri pula.
Dengan mengambil anak angkat anda mendapat dua kehebatan, menyelamatkan anak yang kurang kasih sayang daripada ibu bapanya dan kedua anda mampu membahagiakan diri dan keluarga dengan kehadiran anak yang bukan daripada darah daging sendiri. Inilah ciri keibuan yang paling tinggi nilainya dibandingkan dengan menjaga anak sendiri.
Ingatlah isteri paling dicintai oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW, iaitu Saidatina Aisyah RA itu juga tidak dikurniakan anak, namun masih sangat membahagiakan suaminya dan menjadi isteri yang paling dimuliakan Allah berbanding isteri Rasulullah yang lain. Dia tidak pernah sedih dan mengeluh pun kerana dia sedar kemahuan Allah mengatasi kemahuan manusia sedangkan hubungannya dengan Allah dan Rasulnya amat erat . Maka sedarilah kita ini siapa pada mata Allah.
PAKAI TONGKAT DAH
20 hours ago
0 Komen:
Post a Comment