Wednesday, January 30, 2008

Kita dulu dan Kita Sekarang


Selamat Hari Jadi Sharlinie

Sebak membaca catatan Hari Jadi di Utusan Malaysia pagi ni, sebagai seorang emak, aku faham bagaimana saratnya rindu emaknya pada Sharlinie, dan betapa risaunya ibu sepanjang ketiadaan Sharlinie, manusia tolol yang culik Sharlinie tak tau la berhati apa, sebab aku rasa binatang pun sayangkan antara satu sama lain.

Aku rasa budak-budak sekarang hilang hak asasi mereka sebagai kanak-kanak tidak seperti kita 20-30 tahun yang lalu. Mereka tidak bebas bermain sekeliling kawasan dengan bebas, tanpa kita rasa risau. Mereka hanya ada peluang bermain di luar sejam or lebih kalau ibu bapa ada masa nak temankan diaorg bermain di luar, keluarga yang ada bibik untung juga, boleh minta bibik temankan anak-anak bermain. Kesian budak-budak zaman sekarang, kalau mak bapak malas menemankan anak di luar, maka budak-budak ini hanya bermain games, PS atau tengok kartun je la kat tv. Nak lepaskan anak-anak bermain kita dalam rumah pula yang risau, nak menunggu, time balik kerja la nak masak, nak basuh baju, nak menyapu. Kalau kita menunggu, alamatnya dapur tak berasap.

Zaman-zaman kita dulu, celik je mata, kadang-kadang tak sempat nak makan pagi, dah kawan-kawan tercongok depan pintu rumah menunggu nak bermain. Kawasan perumahan aku, walaupun perumahan taman, tapi kami di kawasan rumah kos rendah patern macam rumah felda, rumah papan sebuah-sebuah, jadi persekitrannya tak jauh beza macam di kampung. Kalau semalam kami bermain tepi rumah Mak Jah, pagi ni kami pi bermain depan rumah Mak Mah, tengahari balik makan, itu pun kalau makan kat rumah, kadang-kadang 'berkelah' dengan kawan-kawan bawah pokok rambutan depan rumah Pak Man, masing balik rumah minta mak isi sepinggan nasik, lauk sekerat, sayur sikit, dan kuah kari, kadang-kadang emak-emak yang beranak kecik tak sempat masak, makan nasi dengan kicap boh telur mata kerbau je, tapi sedapnya nikmat betul. Masa tu siapa 'berkelah' nasi lauk ayam atau daging, kira mewah lah. Meleleh air liur orang lain nengok dia menggigit ayam.

Siap makan atas pangkin bawah pokok rumah Pak Man, masuk hantar pinggan, belum sempat mak membebel cuci tangan belum kering dah keluar pulak, kali ni port belakang rumah Mak Zarah, sebab dah petang, belakang rumah Mak Zarah teduh, boleh main masak-masak dekat bangsal belakang rumah tu. Jemu main masak-masak kami memboloskan diri bawah pagar sekolah, pergi bermain di padang sekolah, yang berkongsi pagar dengan rumah Mak Zarah, rumah Pak Lan, rumah Pak Man, rumah Mak Timah, tengah syok berlari keliling padang, nak jenguk longkang besar tepi padang, Pak Man jerit "Oiii, hang pa dok main apa tepi longkang, ada hantu ayaq dalam tu," lintang pukang lari, dan main polis sentri semula.. potong stim betoi Pak Man ni. Sebenarnya bukan ada hantu ayaq pun, tapi Pak Man tak mau kami jatuh longkang, kami bukan anak-anak Pak Man, tapi Pak Man tolong tengok kami main di Padang.

Pukul 7, Mak Timah, bawa sebatang ranting jerit tepi pagar "Hang pa semua tak reti nak balik ka? tak nampak dah senja, sat lagi keluar pontianak cekik tengkuk baru tau, dok main sampai hitam merelit, tu Own tu, mana kasut hang, terpijak paku ka, kaca ka baru hang tau, hang pa balik lekaih, sat lagi mak hang pa tutup pintu baru hang pa tau, hang pa balik la ni sat lagi aku rembas sorang-sorang" Mak Timah berleter tepi padang, padahal Own tu bukan anak Mak Timah pun, tapi Mak Timah marah Own tak pakai kasut. Dan kami semua balik, tak kecik ati pun, mak-mak orang lain duk rumah tepi-tepi tu je, tak der sorang pun mak terasa hati, yang ada "Kak Timah, rembas saja, tu anak kami tu, dari pagi dok main, ketegaq, boh sedas dua," tu diaaaa mak sendiri pulak menambah.

Lepas maghrib pakat-pakat pi mengaji rumah Mak Mah, sambil tunggu turn mengaji sempat lagi plan, esok kita main kat rumah Pak Usop, pasai tadi nampak Pak Usop ikat buaian bawah pokok mempelam, rumah Pak Usop tepi sekali, halaman dia luas, lagi syok berlari keliling rumah. Tengah syok borak, Mak Mah rembas rotan ke lantai papan, terkejut dan takut, terus bukak muqaddam. Mak Mah marah "Hang pa ni tak dak keja lain, dok kira nak main saja, bukan nak mengaji betoi-betoi, sat lagi aku habaq kat mak hang pa," tu dia dah kena marah..

Esok tu seperti di rancang, lepas je makan pagi, dah beramai-ramai pi main kat rumah Pak Usop. Pak Usop siap pesan main gilir-gilir, buaian tu ada satu, jangan main kasar-kasar, ada pulak pelam masak kat pokok, Pak Usop suruh Mak Zarah kupas bagi kami makan. Lepas kenyang makan pelam kami tukar port, main depan rumah aku, bising riuh rendah, kena marah dengan mak, "hang pa pi main tang lain, anak-anak aku nak tidoq ni, " ohohoh kena halau pulak, maklumlah masa tu adik-adik aku kecik-kecik, tukar port, pi main rumah Pak Bakaq pulak.

Sesekali, emak-emak berpakat sesama emak-emak, 'berkelah' 4-5 keluarga bawah pokok pelam belakang rumah Mak Zarah ramai-ramai, emak masak gulai seperiuk, Mak Zarah masak sayur keladi, Mak Mah buat sambal belacan, goreng ikan kering, Mak Siah goreng ikan 'termenung' seperiuk (ikan kembong), dan setiap orang tu ada je menu masing-masing, bancuh air sirap satu besen, makan ramai-ramai, sedap sangat. Lepas makan, basuh pinggan ramai-ramai, kemudian bertukar-tukar gulai untuk makan malam di rumah masing-masing. Oh rindunya...

Indahnya kan zaman tu, jiran-jiran tu 'kepoh' sebab itulah kita bebas bermain, sebab mak kita tau, kalau kita depan rumah Pak Man, anak dia selamat, Pak Man takkan bagi budak-budak pi main jauh-jauh. Bila Pak Man rasa tiba-tiba rumah dia senyap, dia pi cari mana budak-budak ni hilang. Mak Timah jerit time senja suruh balik, sebab Mak Timah tau masa ni semua mak bapak tengah tunggu anak balik, tak kena gaya ada kena kurung duduk luar rumah sebab lambat balik. Pak Usop buat buaian bawah pokok, sebab dia tau rumah lorong belakang tu ada buaian, dia tak mau kami anak-anak lorong 3, pegi main rumah di lorong dua. Nanti kami main tak nampak depan mata depa orang-orang tua.

Selamatkan zaman itu? Kami takut nak pi main jauh-jauh sebab takut Botak Chin, takut Joe sembelih kepala orang, cepat masuk rumah sebelum maghrib takut pontianak keluar hisap darah. Kalau kami kena marah dengan Mak Zarah, Mak Mah, Pak Man, kami tak bagitau dekat mak, silap-silap kena pukul tambah lagi. Bila dekat time periksa, belajar ramai-ramai, Not anak Mak Zarah pandai, kami belajar ramai-ramai dengan dia, Not dah jadi doktor sekarang, Abang Man, anak Pak Bakar dah masuk universiti, dia ajar kami tuisyen free, dia pun dah jadi cikgu sekarang. Walaupun kami semua bermain dari pagi sampai petang, ramai jugak antara kami masuk universiti, ada dah jadi doktor, engineer, jadi cikgu, semuanya membesar bawah pokok pelam, makan bawah pokok rambutan, main belakang rumah, dan berlari di padang sekolah.

Ya, kejiranan dulu tak macam kejiranan sekarang. Jangan kata orang, aku sendiri pun tak kenal anak-anak jiran sepanjang lorong rumah kami, setakat anak jiran kiri kanan, dan rumah depan. Dan kita kalau tengok anak orang nakal sikit, tak berani tegur takut ibunya kecil hati, kang kerana benda kecil bermasam muka pulak, agaknya orang pun sama, nengok anak kita nakal, dia pun tak tegur, zaman berubah. Kita pun walaupun rindukan zaman-zaman itu, tapi susah untuk mengubah kerana masa berubah dan kita juga berubah.

Kerana semua itu yang berubah, itulah yang terjadi pada anak-anak yang hilang ini.....

0 Komen:

Related Posts with Thumbnails
 

~ Sharing is Caring ~ Pnut Online~ Menulis Sejak 21 May 2001 ~ Cerita Apa Saja~ Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino