|
WIRA DI HATI BONDA
Dia bukan wira membelah lautan maya Dia tidak belayar menyeberangi samudera Dia tidak mengukir nama di persada dunia Tetapi dia adalah wira...
Dia juga bukan wira gagah memanjat puncak tertinggi dunia Juga bukan wira memandu kereta ternama di litar antarabangsa Apatah lagi menjadi wira yang menjaja nama negara Jauh sekali bijak berkata dengan hujahnya...
Dia juga bukan wira yang menjaja kasih cintanya Dia bukan menjadi raja dihati dara Malah dia juga bukan perkasa mindanya Tidak jua dia gah dengan kereta mewahnya
Dia gagah dalam arenanya Bendang diredah dengan kudratnya Jentera membajak itulah kereta mewahnya Lumpur dan selut itulah punca rezekinya Disitulah dia menjaja kasih pada ibunda...
Tanpa kasih ayahanda Dialah penawar jiwa Penguat semangat bonda serta adinda Dialah menyara semuanya
Bagi anak muda lain seusianya Bagi anak yang bapa mereka dihantar pemandu ke mana-mana Apalah wang yang cuma nilainya sehelai celana
Tetapi bagi dia wang senilai celana itu lebih bermakna Lalu, dia rela dihumban terus ke penjara Demi tidak akan membeban ibunya yang tua Disaat tarikh bahagia seluruh dunia meraikan hari bonda Dia berikan cerita duka buat bonda
Dia akhirnya bebas bila ada yang membela Tidak balik bersuka ria Esoknya dia kembali ke lumpur semula Inilah masa dia bekerja, kerana musimnya telah tiba Jentera membajak dipandu merata Kerana inilah masa upah berganda
Iya... Dia bukan wira kita semua Tetapi dialah Wira dihati bondanya...
# posted by Pnut @ 18.5.05 |
|