Tuesday, November 09, 2004

Kisah sedih yang panjang


THIS IS UPDATE VERSION..SILA BACA BAWAH PUNYA DAHULU

ISU TOK MEK: Update 7 Nov 2004

Berikut adalah update terbaru mengenai isu Tok Mek dan adik Nurfazida Bt Md Radazi.

Apabila sampai ke pengetahuan saya bahawa pihak sekolah di mana adik Fazida belajar, iaitu Sekolah Menengah Keb Parit Panjang, Baling Kedah tidak berpuas hati dengan tulisan saya kerana dikatakan dalam tulisan tersebut terdapat beberapa fakta yang tidak tepat; maka pada hari Ahad 7 Nov 2004, saya dan 3 orang sahabat yang turut serta dalam lawatan ke rumah Tok Mek tempoh hari telah bergegas ke Sekolah berkenaan untuk mendapatkan penjelasan.

ISU BIASISWA

Dalam meeting tergempar yang diadakan di Bilik Mesyuarat sekolah berkenaan bersama-sama dengan Tuan Pengetua Sekolah beserta Guru-Guru Kanan dan guru kelas Fazida, yang kemudian turut disertai oleh Tok Mek dan adik Fazida sendiri beserta seorang Ustazah yang menjaga bahagian Biasiswa; kami diberikan gambaran yang sebenar kenapa adik Fazida tidak mendapat biasiswa.

Terdapat 4 Kriteria untuk mendapat Biasiswa:
1) Pencapaian Akademik
2) Jumlah Ahli Keluarga
3) Pendapatan Keluarga
4) Jarak Dari Rumah Ke Sekolah

Dari sudut pencapaian Akademik, kami ditunjukkan report kad yang menunjukkan adik Fazida hanya mendapat No-2 dalam kelas 2Dnya, dan bukan No-1 seperti yang saya tulis berdasarkan apa yang diceritakan oleh Fazida dalam lawatan kami tempoh hari.

(Saya ingin mohon maaf kerana dalam tulisan saya itu saya tidak nyatakan No-1 itu dalam kelas atau pun untuk keseluruhan , kerana saya tidak expect adik Fazida untuk mendapat No-1 untuk keseluruhan tingkatan, cuma No-1 dalam kelas Tingkatan 2D sudah memadai, mengambil kira beliau sebagai anak yatim yang tinggal dengan moyang yg sudah tua di dalam rumah kecil yang bocor bumbungnya tatkala hujan tiba. Saya mohon maaf)

Kelas 2D adalah antara kelas yang tercorot, walau pun beliau mendapat No-2 dalam kelas tersebut, tapi relative dengan kedudukan tingkatan berbanding dengan kelas-kelas lain, beliau dikira jauh ketinggalan. Ini adalah penjelasan pihak sekolah.

Dari sudut jumlah ahli keluarga juga beliau gagal memenuhi kriteria untuk mendapatkan biasiswa kerana hanya beliau dan Tok Mek sahaja dalam keluarga tersebut. Dari sudut Jarak ke Sekolah juga gagal kerana jarak dari rumahnya ke sekolah hanyalah beberapa km sahaja. Cuma yang melayakkan beliau ialah untuk mendapat biasiswa ialah kriteria no (3), iaitu Pendapatan Keluarga. All in all, beliau cuma memenuhi 1 drpd 4 kriteria di atas. Kerana itu beliau gagal memperolehi biasiswa. Saya ingin memohon maaf kepada pihak sekolah kerana saya tidak mengetahui mengenai Kriteria tersebut. Harap maklum.


ISU WANG SUMBANGAN

Satu lagi isu yang dibincangkan ialah mengenai pengurusan dana wang sumbangan orang ramai terhadap Adik Fazida dan Tok Mek.

Pihak sekolah telah bersetuju untuk melantik sebuah Jawatankuasa yang akan mengendalikan dana tersebut yang dianggotai oleh beberapa guru; sementara saya Mohd Monier Bin Mat Din berserta 3 orang sahabat saya iaitu sdra Warikh (cameraman), Wahab (kawan baik saya), sdra “M” yang menangis di hadapan stering Serenanya sebagai pemerhati.

Adalah dirasakan perlantikan Jawatankuasa tersebut kena pada tempatnya kerana bukan sahaja kami atau pun guru-guru, tapi jiran-jiran Tok Mek juga risau dengan “kehadiran kelibat-kelibat asing” di waktu malam di kampong tersebut sejak-sejak dana untuk Tok Mek dan adik Fazida turun mencurah-curah.

Dalam mesyuarat ini juga dipersetujui beberapa perkara berikut:

Pihak Jawatankuasa Dana akan memegang buku BSN ini (dengan persetujuan Tok Mek) sehinggalah adik Fazida habis Tingkatan 5. Selepas itu, buku tersebut akan diserahkan terus kepada beliau.
Pihak sekolah memaklumkan bahawa di sekolah tersebut bukan sahaja adik Fazida yang miskin dan susah tetapi lebih ramai lagi murid-murid yang sama atau pun jauh lebih susah daripada adik Fazida. Memandangkan jumlah kutipan tersebut agak banyak dan di luar jangkaan, maka dalam mesyuarat ini, dengan persetujuan Tok Mek dan adik Fazida, wang tersebut akan diagihkan kepada kategori yang berikut: 1/3 untuk buat rumah Tok Mek, 1/3 untuk biayai persekolahan adik Fazida dan 1/3 lagi untuk dana pihak sekolah bagi membantu murid-murid lain yang sama sudah atau pun jauh lebih susah daripada adik Fazida. Dalam perbualan saya dengan Tok Mek seterusnya, Tok Mek cakap wang itu dia niat sedekah untuk budak-budak itu. Lagi pun, dari segi saikologi sekurang-kurangnya ianya dapat mengelakkan rasa iri hati atau pun tidak puas hati murid-murid lain yang sama susah atau pun jauh lebih susah daripada adik Fazida.
Bahagian 1/3 untuk adik Fazida itu tidak akan diserahkan sekaligus kepada beliau mengambil kira usianya yang masih muda. Pihak Jawatankuasa akan memutuskan jumlah “‘Elaun Bulanan” yang akan diberikan kepada beliau berdasarkan masa dan keadaan bagi mengurangkan risiko beliau berbelanja berlebihan. Apa-apa pun selepas tingkatan 5, beliau akan mempunya kuasa mutlak terhadap wang simpanannya itu dan bebas berbuat apa sahaja yang beliau suka. Sementara ini, pihak jawatankuasa akan membantunya supaya tidak boros berbelanja.
Perbincangan detail mengenai agihan sumbangan dana ini akan diadakan pada 5 hb Dec 2004, iaitu selepas habis musim peperiksaan.

KOMENTAR

Secara peribadi, setelah melawat sendiri ke sekolah tersebut, dan setelah bertemu dengan beberapa orang murid yang agak lebih malang berbanding adik Fazida, dan setelah dibawa oleh beberapa orang guru ke beberapa buah teratak usang di kampong-kampung berhampiran Sekolah berkenaan, saya merasakan 1/3 dana untuk tabung kemiskinan sekolah tersebut memang tepat pada masanya.

Misalnya, saya diperkenalkan kepada seorang murid lelaki tingkatan 3, di mana pada tahun lepas, selama setahun beliau tidak datang ke sekolah kerana terpaksa bekerja untuk mencari wang bagi menyambung pelajaran ke tingkatan 3. Berbual dengan murid ini, saya jadi agak segan untuk bertentang mata. Bila beliau bercerita latar belakang keluarganya, memang sungguh terasa hiba di dada.

Kemudian saya dibawa ke beberapa buah rumah usang yang berbumbungkan atap rumbia dan berdinding buluh milik beberapa orang penoreh getah sekitar situ. Berbual dengan mereka memang terasa bagaikan nak menitis air di mata.

Misalnya, seorang Nenek tua yang menjaga 3 orang cucunya (darjah 1, form 3 dan form 4) yang tinggal bersama anak perempuannya yang tidak bekerja dan anak lelaki yang menoreh getah di kebun orang; bila saya tengok rumah beliau yang dapurnya atap rumbia berdindingkan buluh yang jelas kusam hampir reput dan berlumut, serta ruang tamu yang beratap zink yang sudah karat dan bilik atas yang juga beratap zink karat yang sudah tidak boleh diduduki lagi kerana air hujan bila turun, ia akan meluru masuk bagaikan air paip yang keluar di sinki, saya jadi terpana. Bila Tok Nek ini cerita ketiga-tiga atap tersebut, atap rumbia, atap zink karat dan zink yang sudah hampir lebur, semuanya bocor (atau tiris kata org Baling) setiap kali hujan turun; saya tanyalah “Habis tu kalau semua Tiris, bila hujan lari mana?”

Tok ini cakap:
“Kalau Tiris, Tok lari la ke tempat yang tak Tiris!!”

Tu dia aih. Rupanya hujan ini bukan sahaja mengganggu rehat atau pun tidur beliau sekeluarga tapi juga menimbulkan masalah besar bila ianya turun berterusan; kerana periuk nasi keluarga ini bergantung sepenuhnya kepada baiknya cuaca. Jika tiada hujan maka bolehlah pergi menoreh mencari makan, jika tidak berlaparlah jawabnya.

Sekali tu saya tanya, pernah tak sesak, tak dak duit nak belanja. Dia jawab pernah. Habis tu buat lagu mana? Tok Nek ini jawab:

“Kita tak pa la, tapi dok ingatkan cucu-cucu tu lapar, pi lah juga kedai Siam tu - Hutang Beras 2 Cupak!!”

Tak terkata apa saya, terus teringat Supermarkat SELESA kat tepi rumah saya itu, bila beras habis, anytime saya boleh pi Supermarket itu ambik berapa “Ratus Cupak” saya nak, tapi Tok Nek ini 2 Cupak pun nak kena hutang. Bila teringat Tok Nek ini dan kisah Beras 2 Cupaknya, dalam kepala saya, cerita Tok Mek dan Fazida tiba-tiba terus jadi tenggelam.

Bila saya tanya pula, buka posa ini masak apa, Tok Nek ini cakap “Masak Nasik Saja Awang ooo..”. Saya tanya lagi, takkan nasik saja, takkan tak buat cucur ka, koi ka bubur ka apa ka bagi cucu-cucu dia makan. Tok Nek ini jawab:

“Laaaaa……Nak Ambik Duit Mana Awang oooooo….”

Terus saya tak tanya apa dah!!

So, berbalik kepada kisah Tok Mek dan Fazida; apabila melihatkan suasana di atas ini, saya merasakan cerita Fazida hanyalah a tip on the iceberg mengenai kemiskinan di Baling. Fazida dan Tok Mek hanyalah satu symbol yang melambangkan nasib dan permasalahan hidup mereka-mereka yang sama waktu dengannya di daerah kelahiran saya ini. Mungkin ada beberapa fakta tidak tepat yang saya tulis seperti keputusan peperiksaan No 1 vs 2, kedudukan dalam kelas vs kedudukan dalam tingkatan; tetapi ianya tidak menjejaskan fakta bahawa kemiskinan tegar masih wujud, hidup dan segar di kawasan ini, terutamanya di persekitaran sekolah di mana adik fazida dan cucu Tok Nek di atas belajar iaitu di Sekolah Menengah Parit Panjang. Jika anda semua ada wang yang agak berlebihan, hulur-hulurkanlah kepada Tabung Kemiskinan yang ditubuhkan oleh pihak sekolah ini; moga di suatu masa nanti kisah Fazida dan Tok Mek, kisah pelajar sekolah yang terpaksa ponteng selama satu tahun mencari wang untuk ke tingkatan 3 dan kisah Tok Nek di atas yang terpaksa berhutang 2 Cupak beras di kala hujan, semuanya hanyalah tinggal kenangan


Aku terima email ini...
aku baru lepas menangis...
dan aku nak pergi BSN...
anda bila lagi???

Moga rezeki kita tak luak bila menderma...
Moga makin bertambah...amin....

Bacalah walau panjang, dan sudikanlah panjangkan kisah ini..

Jalan-Jalan Bulan Puasa: Anak yatim sebatang kara

Masuk hari ke-16 puasa, saya didatangi oleh beberapa
orang sahabat yang ingin ke Baling, daerah kelahiran
saya untuk memberi sedikit sumbangan sedekah jariah
sempena bulan Ramadhan yang mulia ini. Lalu, pucuk
dicita ulam pun mendatang, saya yang sudah lama tidak
pulang ke kampong halaman menerima pelawaan mereka ini
dengan dada yang penuh lapang.

Dalam banyak-banyak rumah dan teratak usang yang kami
ziarah hari itu, kunjungan ke rumah Tok Mek di Kampung
Lanai Masjid adalah yang paling nostalgic, dan
meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada
rakan-rakan saya ini, atau sekurang-kurangnya kepada
seorang antara mereka yang sebelum ini tak pernah
turut serta dalam mana-mana expedisi sebegini. Kisah
beliau akan saya ceritakan di penghujung tulisan ini
nanti.

Rumah yang kami kunjungi ini dihuni oleh Tok Mek, atau
pun nama penuhnya Saadiah Bt Yassin, 83 tahun dan
cicitnya adik Nurfazida Bt Md Radazi yang sedang
berada dalam Tingkatan 2 di Sek Men Parit Panjang,
Baling. Kedah. Tok Mek menyara diri dan cicitnya ini
hanya dengan berbekalkan wang saraan hidup Jabatan
Kebajikan Masyarakat RM80 sebulan. Wang itulah yang
digunakan untuk belanja dapur, duit sekolah Nurfazida
dan lain-lain. Tanah rumah yang ditumpangi Tok Mek ini
bukannya miliknya; beliau tinggal di situ atas ihsan
tuan tanah. Rumahnya itu pun didirikan atas bantuan
jiran-jiran.

Kata Tok Mek:

"Tu, dinding kat dapur tu Ustaz tu yang tolong buat.
Ni, tikar karpet (lusuh) ni pun si anu tu yang bagi.
Atap tu pun orang yang bagi"

Dahulu Tok Mek ada beberapa orang anak; kini semuanya
telah meninggal. Daripada salah seorang anaknya itu,
lahirlah ibu kepada Nurfazida. Ketika Nurfazida masih
kecil ibunya diceraikan; ayahnya pula kahwin lain. Tok
Mek tak pasti di mana ayah Nurfazida berada ketika
ini. Tidak lama kemudian ibunya pula meninggal dunia.
Lalu, tinggallah adik Nurfazida sebatang kara.

Sungguh sedih kisah hidup adik Nurfazida ini; hendak
harapkan kasih ibu, ibu sudah pun lama pergi mengadap
Illahi. Nak harapkan kasih ayah, Tok Mek sendiri tak
pasti di mana ayah Nurfazida pergi. Nak menumpang
kasih Atuk dan Nenek, kedua-duanya pun sudah tiada
lagi. Nak menumpang kasih adik, abang atau pun kakak,
Nurfazida anak tunggal, anak yatim sebatang kara.

Lalu, yang tinggal setakat ini hanyalah moyang
tersayang, Tok Mek yang dipanjangkan usianya
seolah-olah untuk menjadi payung tempat berteduh buat
seketika untuk adik Nurfazida, sementara menunggu hari
ia meningkat dewasa. Sungguh tragis sebenarnya kisah
hidup beliau.

Sebetulnya, ini adalah kali ke-2 saya membawa
kawan-kawan ke rumah Tok Mek selepas kunjungan yang
pertama pada hari cuti Krismas tahun 2003 dulu. Ketika
itu, saya ada membawa 2 orang sahabat yang ingin ke
pedalaman Baling menghulurkan sumbangan. Perjalanan
kami ketika itu mentakdirkan kami singgah ke rumah Tok
Mek. Topik perbualan kami dengan Tok Mek pada hari
tersebut berkisarkan tentang luahan hati beliau
mengenai sebuah perjuangannya yang pada ketika itu
masih belum selesai.

Pada waktu tu, adik Nurfazida baru nak beralih dari
zaman kanak-kanak (darjah 6) ke zaman peralihan menuju
alam remaja di tingkatan satu. Tok Mek merasa tertekan
kerana di usia yang meningkat remaja itu, adik
Nurfazida masih terpaksa mandi di luar rumah dan kalau
nak melepas hajat terpaksa pula menunggu hari sedikit
kelam, supaya kelibatnya tak kelihatan tatkala sedang
mengangkat cangkul menggali lubang.

Meringkaskan cerita, perjuangan utama Tok Mek pada
tahun 2003 itu ialah untuk mendapatkan sebuah bilik
air dan tandas yang sempurna untuk cicitnya, adik
Nurfazida. Dengan pendapatan bulanan RM80 daripada JKM
ini, manalah mampu nak buat lubang jamban, nak upah
orang pun mau nak kena ada dua tiga ratus. Kisah
perjuangan beliau ini yang melibatkan JKKK dll itu ada
saya paparkan dalam tulisan saya sekitar bulan Dec
2003.

Menurut Tok Mek, selepas lawatan kami itu, ada la kot
dua tiga lawatan susulan oleh orang-orang yang tak
dikenali. Saya sendiri, kalau tak silap, ada membuat
lawatan susulan beberapa minggu kemudian. Itu saja,
selepas itu tidak ada lagi yang datang berkunjung.
Mungkin kerana nama Baling itu sendiri bunyi macam
jauh ke pedalaman, maka kurang sedikit minat orang
untuk datang. Pun begitu, sumbangan kewangan yang tak
seberapa yang diberikan mereka itu akhirnya mampu
merealisasikan Impian Tok Mek untuk mendapatkan Tandas
yang sempurna buat cicitnya. Tandas tersebut kini
boleh kelihatan tersergam indah di belakang rumah Tok
Mek (gambar); alhamdulillah adik Nurfazida tak perlu
lagi mengangkat cangkul mengorek jamban.

Lalu, kali ini apa pula masalah Tok Mek?

Tok Mek tak ada isu besar yang nak diluahkan kepada
kami kali ini, kalau ada pun cumalah suatu perkara.
Kata Tok Mek:

"Kadang-kadang bila rasa sesak (putus belanja), Tok
dok teringatkan depa yang datang hari tu, Dok Mana?
Nama Apa? Siapa dia?....selalu dok ingat!"

Sebak aih rasa di dada kami, tapi tak apalah sebab
agenda kami bukanlah nak jadi badan kebajikan, kami
cumalah dua tiga orang individu yang seberapa daya
yang mampu cuba mengenengahkan seberapa ramai yang
mungkin insan-insan senasib seperti Tok Mek dengan
harapan akan ada yang sudi datang membantu.

Kemudian perbualan kami beralih kepada adik Nurfazida;
soalan yang pertama saya tanya:

"Periksa Dapat Nombor Berapa?"

Dia cakap, periksa hat akhir tahun 2004 ini belum tahu
lagi, lalu saya tanya yang pertengahan tahun berapa?
Jawab beliau:

"Nombor SATU!!"

Bukan sahaja no-1, tapi beliau juga mendapat mata
pelajaran terbaik untuk subject Sains.

Lalu saya tanya mengenai belanja sekolah, sehari
banyak mana. Belum sempat beliau jawab, Tok Mek
menyampuk bagitau "Ada la Singgit Dua Inggit"; bila
saya tanya Nurfazida lagi, berapa ringgit, dia jawab
"Singgit"; kemudian Tok Mek kata lagi "Singgit dua
Inggit". Sebetulnya Tok Mek segan nak berterus terang
dengan kami, dalam perbualan seterusnya, Nurfazida
bercerita bagaimana wang RM1 yang diberikan oleh
neneknya itu, RM0.80 buat tambang bas pergi balik,
RM0.20 lagi dia simpan.

Habis tu, waktu tu rehat tak makan ka? Saya petik dari
mulut adik Nurfazida sendiri, beliau jawab:

"Tak...tak rehat..dok dalam kelas tak keluar rehat.."

Hampir berlinang air mata saya. Hari-hari itulah rutin
adik Nurfazida, pergi sekolah semata-mata untuk
belajar, di kala kawan-kawan sedang riuh rendah
berebut membeli makanan di kantin sekolah, beliau
keseorangan dalam bilik darjah mengulang kaji
pelajaran; kalau rasa lapar dan dahaga cuma minum air
yang dibawanya dari rumah.

Bila ditanya tak dapat kah biasiswa kecil persekutuan
RM600 sebulan, belum sempat beliau menjawab, neneknya
yang sedari tadi berlinang air mata mendengar cerita
cicitnya ini menyampuk:

"Tok ada la tanya Nurfazida, dia kata kat Tok "TOK
WEI, ANAK-ANAK ORANG KAYA SAJA YANG DAPAT BIASISWA TU
TOK WEI, ANAK ORANG MISKIN MACAM KITA INI MANA NAK
DAPAT!!" "

Rupa-rupanya sudah 2 kali beliau isi borang minta
biasiswa kecil persekutuan RM600 setahun ini, pertama
kali pada awal tahun 2003 dan kali kedua pada awal
tahun 2004; kawan-kawan beliau yang entah berapa RATUS
ranking mereka dalam kelas pakat dapat tapi beliau
yang dapat No-1 dan the best student in Science, anak
yatim pula tu, habuk pun tarak.

&*^$##%^^& sorry lah, saya pun tak tau nak komen apa!!

Kemudian kami tanya pasal buku dan baju sekolah. Buku,
alhamdulillah dapat buku Teks; tang
bajunya?masyaallah, Tok Mek tunjukkan kpd kami baju
sekolah Nurfazida yang sedang tergantung tu. Kata Tok
Mek, baju tu lah sehelai, pakai pagi, petang basuh.
Esok pun macam tu juga, pakai pagi petang basuh.
Tiap-tiap hari macam tu. Kalau hujan nanti
pandai-pandailah adik Nurfazida sterika atau buat apa
yang patut. Kami rasa la, bukan saja Tok Mek yang
patut dapat RM80 sebulan duit JKM, tapi Nurfazida bt
Md Radazi pun patut dapat juga..

Sayang sungguh budak yang cerdik dan pintar macam
adik Nurfazidah ini terabai macam tu, sungguh sayang.
Saya ini naik emosional sikit bila tulis kisah beliau
ini, sebab ia betul-betul mengingatkan kepada satu
kisah benar yang berlaku di kampong kelahiran saya
yang jauh terpencil berbanding kampong Tok Mek, dalam
daerah Baling juga.

Lebih kurang 25 tahun yang silam, saya merupakan anak
kampong saya yang pertama mendapat 5A dalam Ujian
Penilaian darjah 5, seterusnya menjadi anak kampong
saya yang pertama ke Amerika; dan mungkin menjadi
satu-satunya anak kampong saya yang pernah menjejak
kaki ke Eifel Tower dan mungkin merupakan satu-satunya
anak kampong tersebut yang pernah menjadi Presiden
Persatuan Mahasiswa/i Malaysia di sebuah Univerisiti
di Amerika. Selepas saya mendapat 5A, tidak ada
sesiapa yang dapat memecahkan rekod saya itu
sehinggalah beberapa tahun kemudian. Pelajar yg
mendapat 5A itu saya masih ingat lagi seorang pelajar
perempuana bernama Norma. Masuk form 1, Norma mendapat
tawaran ke sebuah sekolah berasrama penuh di Sg
Petani. Masuk form 2, Norma terpaksa berhenti dan
pulang belajar di sekolah menengah biasa di Baling
kerana ayahnya yg kerja kampong itu tak mampu menyara
persekolahan beliau di sana. Hari ini, pelajar yang
pintar itu saya dimaklumkan hanyalah seorang operator
kilang atau pun kerani.

Apabila melihat wajah adik Nurfazida, saya terus
teringatkan si Norma. Takkanlah ada lagi sorang anak
Baling yang akan jadi macam beliau?

Dalam kereta UNSER semasa perjalanan pulang, saya
cakap kepada kawan-kawan bahawa saya akan cuba
karangkan cerita ini sebaik mungkin, kemudian akan
saya cc kan kepada Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
sendiri, Datuk Ahmad Rafaei Hj Mahat. Tiba-tiba
seorang rakan bernama M yang tinggal setaman dengan
saya menyampuk, kata beliau, Datuk Ahmad Rafaei itu
adalah cikgunya semasa sekolah menengah dulu. Cerita
tersebut terhenti di situ.

Setelah berpisah menuju kenderaan masing-masing di
parking lot Kulim Hi-Tech, semasa dalam Toyota
Serenanya, M meluahkan perasaannya kepada saya. Dalam
UNSER tadi ramai, mungkin dia segan. Kata M:

"Hang tulis dulu cerita adik Nurfazida tu, nanti aku
akan fwd pi kat cikgu aku tu, aku nak tulis:"

'Ke hadapan guruku, cikgu Ahmad Rafaei, cikgu masih
ingatkah lagi saya, Mohd.... bekas anak murid cikgu di
Sek Tinggi Melaka dari tahun 1982-1986, yang
bersama-sama dengan Hamzah dll dalam kelas 4 Sains 1
di mana pada ketika cikgu mengajar kelas kami. Cikgu
selalu mengajar kami supaya prihatin dan mengambil
berat mengenai ANAK-ANAK BANGSA...hari ini cikgu,
saya.....(sampai sini, suara M mula perlahan)..."

Kemudian...senyap....selepas itu M, seorang Engineer
di sebuat syarikat Multinational, menangis
teresak-esak di hadapan stering Toyota Serenanya. Saya
pun hampir sebak.

Bila suasana sudah agak reda; saya cakap:

"Tu lah M, aku pun sedih jugak; hang bayangkanlah baju
sekolah pun sehelai tu saja.."

Belum habis saya cakap, M menangis lagi, kali ini lagi
kuat...teresak-esak macam di hari saya kehilangan
ayah. Saya biarkan M sendirian; saya lihat air matanya
berlinangan sehinggalah kami tiba ke rumah.

Sesungguhnya, memang perit menjadi anak yatim, makan
minum, duit sekolah, kain pakai tiada yang ambil
peduli. Patutlah pun dalam Al-Quran Allah SWT banyak
menyebut betapa perlunya kita mengambil berat mengenai
anak-anak yatim, sehinggakan zakat fitrah pun, kalau
ikut kiranya, anak yatim pun termasuk dalam asnafnya
yang utama. Lantaran itu, jikalaulah ada yang
tersentuh hatinya membaca kisah adik Nurfazida anak
yatim sebatang kara ini, bolehlah menghulurkan
sumbangan terus ke akaunnya seperti di bawah:

(BSN Giro a/c Nurfazida Bt Md Radazi:
02118-29-00009288-6)

Moga kisah perjalanan kami di hari ke-16 puasa ini ada
manafaatnya untuk semua

8 Komen:

Anonymous said...

Saya sungguh terharu bila membaca kisah Tok Mek. Kisah ini bukanlah yang pertama saya baca tapi sedihnya masih sama.

Cuma saya ada satu cadangan, kenapa tak kisah Tok Mek ini diajukan ke TV3 misalannya? Medium TV lebih berkuasa sebenarnya dari medium Blog.
Satu hal, jika kisah Tok Mek ini sudah masuk TV, mana2 wakli rakyat tak boleh buat janji kosong untuk tolongnya sebab kita boleh buat follow up dan satu malaysia akan tahu.

Itu cuma cadangan.

Anonymous said...

Dear Kakak,
Saya dan beberapa org kawan ada call penulis tuk dptkan cerita lanjut ttg adik ni. Tapi penulis kata dah ada hamba Allah yang bemurah hati sanggup membiayai pembelajaran dan tanggung adik ni. And dia kata rasanya tak perlu tuk org lain menderma dah.. Just nak share apa yg info yang kami dapat.. Tuhan telah ketemukan adik ni dengan org yang baik dan sanggup menolongnya.. =)

Ron97 on 5:41 AM said...

"ada tempat yg kami biarkan bergelap dan makan nasik same garam, walaupon kami mampu membantunya"kepada yang pernah merasa susah,
baru akan merasai betul betul..
betapa susahnya perkara yang diceritakan...

yaabbna on 3:17 PM said...

Aku sebak juga baca kisah ni,aku tak tahu sapa yg foward email.

Leyla Shuri on 7:17 AM said...

Assalamualaikum P-nut,
Ingat akak lagi tak...terima kasih kerana sudi membuat perjumpaan pada Oct. 7 lat Alamanda, Putrajaya. Nanti akak nak masukkan gambar p-nut, boleh kan? Lepas raya nanti.
Selamat menggambil kesempatan ini untuk melayangkan ucapan mohon maaf zahir/batin diawal syawal nanti, kalau ada tersalah tegurang atau percakapan, diharap deletekanlah ya...hehehe.

Unknown on 2:43 AM said...

salam aidilfitri utk kak p-nut sekeluarga...

OP Zaharin on 2:52 PM said...

insya Allah, kalau ada rezeki, kita bantulah mereka yang memerlukan.

Anonymous said...

Orang politik memang suka orang miskin macam ni, dapatlah mereka memancing aka mengugut masa pilihanraya.
Dr M*shit*h tak kan senyum aje kot.

Related Posts with Thumbnails
 

~ Sharing is Caring ~ Pnut Online~ Menulis Sejak 21 May 2001 ~ Cerita Apa Saja~ Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino